Rabu, 12 September 2012

Pengurus dan Kakitangan Felda Keciwa Kerana tidak dapat berurusniaga lagi dengan saham-saham FGVH

Kejatuhan harga saham FGVH sehingga ke peringkat saham-saham itu tidak dapat diurusniagakan lagi mengeciwakan kebanyakan pengurus-pengurus Felda dan juga kakitangan Felda.  Satu kumpulan pengurus-pengurus dan kakitangan Felda baru-baru ini telah menemui pimpinan Parti Keadilan Rakyat di beberapa buah Cabang meminta kerjasama KEADILAN untuk mendedahkan keadaan buruk ini, dan mereka dengan ikhlas menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai keberanian untuk membuat pendedahan kerana mereka masih bertugas dengan Felda.

Nilai saham kini bukan sahaja merudum tetapi hanya diniagakan dengan harga sekita RM4.60 dan dengan nilai sebegini mereka (pengurus-pengurus Felda dan kakitangan Felda) tidak dapat berurusniaga saham-saham mereka.

Kebanyakan pengurus Felda dan kakitangan Felda yang turut diperuntukkan saham-saham FGVH bersepakatan untuk menjualkan saham-saham mereka, tetapi dengan harga saham yang rendah itu, mereka tidak dibenarkan untuk berurusniaga; dan jika harga saham terus menjunam mereka bimbang bahawa mereka akan hanya memiliki saham yang tidak ada nilai seperti yang berlaku keatas beberapa saham yang dilancarkan oleh kerajaan-kerajaan negeri Barisan Nasional seperti Amanah Saham Johor dan juga saham KUBB.

Pengurus-pengurus Felda diperuntukkan hingga 10,000 unit saham FGVH manakala kakitangan lainnya diperuntukkan dengan unit yang rendah sedikit daripada yang diperuntukkan kepada pengurus-pengurus.

Diatas nasihat Felda supaya mereka tidak menjualkan saham mereka, pengurus-pengurus dan kakitangan Felda tersebut terlepas peluang untuk mendapatkan keutungan apabila FGVH dilancarkan pada 28 Jun lalu dengan harga saham yang boleh memberikan keuntungan kepada mereka.  Peluang itu sudah terlepas dan mereka keciwa bahawa cakap-cakap Isa Samad dan Sabri Ahmad terbukti sebagai cakap-cakap kosong apabila menyatakan bahawa saham FGVH akan memberikan keuntungan besar jika pemilik-pemiliknya tidak menjualkan tetapi menyimpan saham-saham itu kesuatu tempoh di mana saham-saham itu akan naik.

Pengurus-pengurus Felda sudah dua kali tertipu.  Semasa penyenaraian dibuat, mereka diperuntukkan saham jauh lebih kecil daripada pegawai-pegawai anak-anak syarikat Felda.  Kini mereka mendapati mereka berada didalam keadaan dilema menyimpan saham-saham yang tidak boleh diurusniaga.  Mereka terasa amat keciwa.

Kalaulah pengurus-pengurus Felda keciwa dengan kejatuhan saham FGVH, lain pula cerita yang menimpa nasib peneroka-peneroka Felda.

Peneroka-peneroka diperuntukkan hanya sekadar 800 unit seorang 200 unit kurang daripada satu lot.  Tetapi oleh kerana peneroka-peneroka tidak tahu dan tidak pernah "bermain" saham, mereka menjangkakan bahawa 800 unit itu boleh memberikan keuntungan puluhan ribu ringgit.  Itu yang dijanjikan kepada mereka.

Peneroka-peneroka yang begitu teruja dengan pemberian saham dengan dikenakan hutang melalui bank-bank tempatan sebanyak RM3640.00 berasa begitu lega memperolehi saham itu; dan mereka mengambil sikap "benci" kepada nasihat-nasihat yang diberikan bahawa mereka akan hanya menanggung hutang dengan pembelian saham 800 unit itu.

Kini apa sudah jadi?  Felda mahu memikul amanah untuk menjamin dan menjelaskan hutang bagi pihak peneroka kepada Bank-Bank yang memberikan pinjaman.  Bunyinya cukup baik bahawa Feldalah yang akan membayar kepada bank-bank.  Akibatnya, peneroka-peneroka dikenakan membayar kepada Felda sebanyak RM50.00 sebulan sehinggalah hutang yang bayarannya didahulukan oleh Felda langsai dibayar oleh peneroka-peneroka.

Yang dikejar tak dapat yang dikendung berciciran.  Itulah gambaran yang boleh diletakkan kepada nasib peneroka-peneroka Felda.

Bagaimanapun, golongan yang besar juga dari kalangan peneroka-peneroka itu masih menaruh harapan bahawa 800 unit yang mereka pegang itu akan membuahkan pendapatan ribuan ringgit.  Harapan inilah yang dibelai oleh UMNO/BN untuk terus menghisap darah peneroka-peneroka.

Peneroka-peneroka dan kakitangan Felda yang bijak sudah lama menjualkan saham masing-masing; dan diperingkat awal dahulu, peneroka-peneroka tersebut berjaya mendapatkan RM400.00 disamping melangsaikan hutang pinjaman untuk saham mereka dengan bank-bank.  Pengurus dan kakitangan Felda yang perihatin dengan pasaran saham juga telah menjualkan saham masing-masing dengan membuat keuntungan.

Kepada mereka yang setia dengan UMNO dan menerima nasihat UMNO, Felda dan Isa Samad, nasib mereka adalah seperti "Nasi sudah jadi Bubur".

Tiada ulasan: