Rabu, 29 April 2015

Isa: Bagaimana PAS nak selamatkan Skim Felda?

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mempersoalkan PAS tentang bagaimana parti itu hendak menyelamatkan rancangan penempatan tanah untuk penduduk miskin luar bandar sedangkan parti itu sendiri gagal menguruskan ladang rakyat di Kelantan. Beliau berkata kerajaan Kelantan telah gagal membangunkan projek yang diuruskan oleh Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, yang tidak memberi manfaat kepada penduduk miskin di negeri itu. "Kita tengok apa sudah jadi dengan ladang rakyat di Gua Musang, tak ada apa-apa. Kalau mereka bagi tanah itu kepada Felda, kita sudah lama boleh tolong bangunkan," katanya kepada Bernama selepas melancarkan program 'Felda Prihatin Belia, Jom Sambung Belajar, Sukan Generasi Baharu Felda' di Felda Keratong 1, kira-kira 82km dari Rompin semalam.
 Justeru, katanya PAS hanya membuang masa sahaja untuk menganjurkan perhimpunan peneroka Felda Keratong 4 dalam usaha untuk menyelamatkan rancangan penempatan tanah itu. PAS hari ini melancarkan 'Himpunan Perdana Selamatkan FELDA 2.0' yang sepatutnya dilancarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai sebahagian daripada kempen parti bagi pilihan raya kecil Parlimen Rompin pada 5 Mei. "Felda tetap berterusan akan menjaga kebajikan generasi baharu peneroka kerana kita mempunyai organisasi yang lengkap seperti jabatan-jabatan yang mampu membangunkan generasi muda peneroka," katanya.
Mengenai program perumahan generasi kedua Felda, Mohd Isa berkata Felda sedang mencari jalan untuk menyediakan rumah yang mencukupi kepada mereka. Bagaimanapun, berkata kos membina rumah untuk mereka telah meningkat dalam masa beberapa tahun dan adalah sukar untuk menawarkan rumah yang murah kepada mereka. "Kita sedang ikhtiar untuk membina rumah bawah harga RM90,000 tapi tak dapat dengan harga kos yang sudah meningkat, kecuali kalau ada pihak dengan teknologi baharu yang mampu menyediakan rumah berukuran 1,000 kaki persegi dengan harga itu, sila tampil untuk berbincang dengan kita," kata beliau.
Felda hanya mampu menawarkan rumah yang lebih besar berharga dari RM120,000 hingga RM150,000 kepada peneroka generasi kedua daripada Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), katanya. "Harga yang kita jual setakat ini ialah harga yang paling rendah kita dapat tawarkan melihat kepada keluasan rumah 1,000 kaki persegi dan jenis rumah teres. Jangan anggap Felda nak cari untung kerana kita bukan meniaga rumah kerana ini hasrat Perdana Menteri untuk membantu generasi muda Felda," katanya. Pada 2013, Felda memperuntukkan sejumlah RM1.4 bilion untuk membina 20,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara dalam tempoh lima tahun untuk membolehkan peneroka generasi kedua memiliki rumah.

Bernama-
Link berita- http://www.malaysiakini.com/news/296428

Selasa, 14 April 2015

'Saya bayar GST, saya berhak persoal PM'

NGO lantang Melayu Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) masih tidak menyatakan sikap dalam kemelut antara Datuk Seri Najib Razak dan Tun Mahathir Mohamad. Bagaimanapun, Pengarang Kanan Ismaweb Razali Zakaria maju setapak dengan menyatakan sokongannya kepada Mahathir. Razali berhujah, pembayar cukai berhak tahu dalam isu-isu negara yang dibangkitkan perdana menteri keempat itu. “Saya pun ingin tahu hal yang sebenar. Saya pun membayar cukai pendapatan kepada negara dan terbaru, saya juga membayar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Saya ada hak untuk tahu. “Justeru, kepada Tun Dr Mahathir, saya katakan Tun tidak keseorangan dalam mengetengahkan isu-isu yang dibangkitkan itu,” tulisnya di laman web rasmi ISMA hari ini. Semalam, Mahathir menulis di blognya bahawa beliau keseorangan ketika membangkitkan kritikan terhadap kepimpinan perdana menteri dalam isu Altantuya Shaariibuu dan 1Malaysia Developement Bhd (1MDB). Telinga Mukhriz kini dipulas Mahathir juga mendakwa pihak yang mengkritik Najib kini berdepan ugutan. Beliau dipercayai merujuk kepada dilema Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz, yang juga anaknya, ketika kesetiaannya dituntut. Kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam seolah-olah kata dua kepada Mukhriz untuk memilih antara Najib atau bapanya. Menulis dalam web itu, Razali turut mengiyakan kenyataan Mahathir sebelum ini berhubung dakwaan ugutan itu. “Telinga Mukhriz (kanan) kini dipulas. Benarlah apa yang Tun (Mahathir) kata sekarang ini ada ugutan terhadap sesiapa yang tidak menyatakan sokongan kepada Najib,” katanya. Nota di bawah artikel itu menyebut bahawa tulisan Razali itu pandangan peribadi dan tiada kena mengena dengan ISMA. sumber:http://www.malaysiakini.com/news/295268"