15 Mei 2012
Azalina (tengah) ketika menyampaikan replika cek kepada wakil peneroka
sempena Majlis Penyerahan Duit Durian Runtuh di Dewan Felda Sening, semalam.
KOTA TINGGI – Mereka yang mengutuk
kerajaan dicabar untuk keluar daripada tanah rancangan Felda kerana
mereka tidak diperlukan di dalam kawasan tersebut.
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Azalina
Othman Said berkata, ramai lagi masyarakat di luar yang mahu menjadi
warga Felda menggantikan tempat mereka yang tidak bertanggungjawab ini.
“Saya nak cabar mereka yang mengutuk
kerajaan Umno agar jangan ambil duit durian runtuh ini. Bawa anak dan
isteri keluar daripada tanah rancangan Felda kerana kita tidak perlukan
mereka. Ramai lagi yang mahu masuk Felda,” katanya ketika berucap pada
Majlis Penyerahan Duit Durian Runtuh di hadapan kira kira 800 masyarakat
Felda di Dewan Felda Sening, semalam.
Azalina turut menafikan durian runtuh
dan juga durian gugur yang diumumkan Perdana Menteri buat masyarakat
Felda itu adalah untuk memancing undi.
“Duit yang diberikan kerajaan ini
bukan untuk pancing undi. Bukan duit rasuah seperti yang didakwa pihak
tertentu, sebaliknya ia adalah duit jaminan daripada kerajaan bahawa
peneroka Felda akan dapat keuntungan dengan penyenaraian Felda Global
Ventures Holdings (FGVH) ke bursa Malaysia.
“FGVH disenaraikan agar peneroka Felda
dapat pembelaan di bawah satu payung untuk mengaut kekayaan. Di mana
dengan penyenaraian FGVH ini bakal memberikan keuntungan yang besar buat
masyarakat Felda sendiri," katanya.
Tambahnya, di bawah kepimpinan Perdana
Menteri sekarang, penduduk Felda sepatutnya berasa beruntung kerana
sentiasa diberikan keutamaan.
Pada majlis tersebut, Azalina turut
menyempurnakan penyerahan replika cek durian runtuh kepada wakil
peneroka daripada sepuluh Felda di bawah kawasan Parlimen Pengerang.
Sementara itu, salah seorang peneroka
Felda Sening, Kasmon manan, 65, menganggap durian runtuh tersebut amat
berbaloi dengan kesusahan yang dilalui satu masa dahulu.
“Jika pada tahun 1980 kami pernah
menerima gaji sebanyak RM5 sahaja, kini Alhamdulillah semua peneroka
Felda sudah mewah dan dapat hidup senang. Segala pengorbanan kami
benar-benar berbaloi,” katanya yang berhasrat untuk melabur wang yang
diterima di Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Bagi Manijah Surip, 61, peneroka dari
Felda Papan Timur pula berkata, penduduk Felda sekarang amat beruntung
kerana hidup senang dan tidak perlu berjimat seperti dahulu.
“Dahulu kita bukan sahaja terpaksa
berjimat makan, malah semua perkara perlu berjimat untuk meneruskan
kehidupan. Kini masyarakat Felda sudah dapat mengecapi kehidupan yang
mewah,” kata ibu kepada lima anak itu.-SH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan