(Oleh Masdar Wahid)
Katanya, pengumuman Perdana Menteri itu menunjukkan ada negeri yang dianggap beliau kelas kedua berbanding lain-lain negeri.
KUALA LUMPUR 23 Mei: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
menempelak Datuk Seri Najib Razak, yang membezakan antara gaji minimum
rakyat di Semenanjung Malaysia sebanyak RM900 berbanding Sabah dan
Sarawak hanya RM800 sebulan.
“Adakah harga barang di Sarawak lagi murah berbanding Semenanjung? Gula, tepung surat khabar lebih murah? (Tidak…jawab hadirin)
“Saya orang Semenanjung berasal dari Pulau Pinang, saya tidak boleh
terima negara ini ada dua kelas, ini bukan Bangladesh, ini Malaysia
negara kaya (tetapi) mengapa dibezakan,” katanya dibalas tepukan gemuruh
ribuan rakyat ketika berucap di Sarawak dalam siri jelajahnya di negeri
itu, Ahad lalu.
Anwar juga kesal kerana Najib sukar memberikan gaji minimum RM1,100
untuk golongan pekerja sebagaimana ditawarkan Pakatan Rakyat, namun pada
masa sama membisu berhubung gaji anak menteri RM35,000 sebulan.
Beliau memberi contoh skandal NFC, tiga anak Ketua Wanita Umno, Datuk
Seri Shahrizat Jalil berusia antara 25 hingga 31 tahun dibayar gaji
antara RM35,000 hingga RM45,000 sebulan menggunakan wang rakyat.
“Gaji minimum untuk rakyat miskin hanya RM900 sebulan, gaji anak
menteri tiada pengalaman RM35,000 sebulan. Kalau di India tuan-tuan,
kalau rakyat tahu keluarga menteri dapat RM250 juta, rakyat serbu dan
bantah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat melakukan perubahan pada
pilihan raya umum akan datang dengan memastikan undi mereka hanya untuk
calon Pakatan Rakyat.
“Kita dalam KEADILAN, PAS dan DAP berpakat untuk memerintah dengan
dasar-dasar yang pro rakyat dan saya ulang, sebaik diberi mandat bentuk
Kerajaan Persekutuan baru, dalam masa 24 jam, harga minyak seluruh
negara kita turunkan,” katanya.
Anwar turut menemui rakyat di Sri Aman, Batang Lupar, Miri, Baram
selain melancaran Bilik Gerakan KEADILAN Limbang dengan menaiki
helikopter, kereta pacuan empat roda dan bot ekoran jalan yang tidak
sempurna di kebanyakan kawasan sepanjang jelajah beliau selama dua hari
di negeri itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan