Sabtu, 5 Mei 2012

Liga Super: Kelantan belasah Lions XII
MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
5 Mei 2012
Sultan Kelantan turut hadir menyaksikan perlawanan ini.
Sultan Kelantan turut hadir menyaksikan perlawanan ini.
Backpage Norshahrul dicabar oleh Safuwan dalam usaha menjaringkan gol.
Backpage Norshahrul dicabar oleh Safuwan dalam usaha menjaringkan gol.

KOTA BHARU – The Red Warriors mempamerkan aksi kelas tersendiri apabila menewaskan pendahulu liga, Lions XII 3-0 dalam aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Amukan barisan pemain tuan rumah dalam tempoh 20 minit terakhir menerusi tiga jaringan cantik mengukuhkan kedudukan The Red Warriors di tangga kedua dengan 34 mata dalam perlawanan yang turut disaksikan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang berkenan berangkat menyaksikan perlawanan malam tadi.

Seawal minit keempat perlawa­nan, Kelantan dihadiahkan sepakan penalti apabila pemain pertahanan Lions XII, Mohamad Isa Abdul Halim menjatuhkan Mohd Norfarhan Muhammad di dalam kotak penalti.

Namun Norshahrul Idlan Talaha yang diberi tugas mengambil sepakan tersebut gagal meletakkan Kelantan di depan apabila sepakannya tepat menuju kepada penjaga gol, Moha­med Hyrulnizam Juma’at.

Empat minit kemudian, pintu gol Kelantan cemas seketika apabila Lions XII hampir memperolehi jaringan pertamanya. Sepakan percuma oleh Shahdan Sulaiman pantas ditanduk Juma’at Jantan namun ditepis keluar Khairul Fahmi Che Mat dan percubaan susulan Kaptennya, Mohammad Shahril Ishak dinafikan sekali lagi penjaga gol kebangsaan itu.

Serangan balas pantas Kelantan pada minit ke-15 perlawanan me­nerusi hantaran lintang pemain sayap, S Chanturu hampir meng­hasilkan gol pertama The Red Warriors namun Mohd Nurul Azwan Roya memilih merembat tinggi meski pun pintu gol Lions XII sudah pun ternganga luas.

Ketangkasan penjaga gol ke­bangsaan, Khairul Fahmi sekali lagi terserlah apabila menyelamatkan percubaan berbahaya pasukan pelawat pada minit ke-28 perlawanan. Sepakan penjuru oleh Juma’at Jantan ditanduk Hariss Harun yang menyaksikan bola terkena palang dan
tindakan susulan pemain Lions XII digagalkan oleh penjaga gol Kelantan sekali lagi.

Keghairahan pemain Lions XII terus memuncak apabila penye­rangnya, Muhammad Khairul Nizam Mohamad mempunyai peluang terbuka untuk menjaringkan gol namun rembatan leretnya pada m-36 perlawanan diselamatkan Khairul Fahmi.

Kelantan bagaimanapun turut mempunyai dua peluang terbaik untuk menjaringkan gol namun percubaan leret Chanturu pada minit ke-39 terlalu lemah sementara gerakan menarik Norshahrul Idlan bersama Mohd Norfarhan dua minit sebelum babak pertama berakhir juga mene­mui kegagalan.

Detik kebangkitan anak buah Bojan Hodak bermula sebaik sahaja tiga minit babak kedua bersambung apabila Mohd Shakir Shaari me­ledakkan rembatan kencang yang ditepis Mohamed Hyrulnizam na­mun rembatan susulan Mohd Nor­farhan terkena benteng per­tahanan pasukan pelawat.

Chanturu meneruskan pe­nguasaan The Red Warriors apabila mendada kemas bola hantaran jauh Obinna Nwaneri di dalam kotak penalti namun percubaannya daripada sudut sukar sempat dikuis penjaga gol Lions XII itu pada minit ke-55 perlawanan.

Di sebalik asakan bertali-arus pemain tuan rumah, pasukan Lions XII yang lebih banyak bertahan turut mempunyai dua peluang untuk mencipta jaringan namun percubaan Shahdan Sulaiman pada minit ke-66 dan tandukan Mohammad Shahril tersasar daripada pintu gol Kelantan.

Pemain yang terkenal dengan jolokan ‘Kelantan Ekpres’ akhirnya menamatkan keresahan hampir 15,000 penyokong setia apabila menjaringkan gol pertama The Red Warriors pada minit ke-73 perlawanan.

Berpunca gerakan solo Nor­shahrul Idlan yang memperdayakan Sevki Sha’ban di dalam kotak penalti, hantaran lintangnya disempurnakan oleh Chanturu yang melakukan tendangan akrobatik ke penjuru sebelah kanan pintu gol Lions XII.

Empat minit kemudian, Mo­hamed Hyrulnizam tertewas kali kedua di pintu golnya. Umpanan jauh Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi ditampan kemas Mohd Norfarhan sebelum merembat kencang untuk menewaskan penjaga gol Lions XII itu.

Tertekan dengan dua gol tersebut, pasukan Lions XII kembali me­lancarkan serangan pada minit ke-82 perlawanan menerusi hantaran lin­tang mengelirukan oleh Juma’at Jantan yang hampir memerangkap Khairul Fahmi namun sempat ditepis keluar penjaga gol Kelantan itu.
Selang seminit kemudian, Khairul Fahmi sekali lagi menggagalkan percubaan pasukan pelawat apabila menepis keluar rembatan kencang Muhammad Irwan Shah Arismail dari jarak 25 meter.

Pemain gantian, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid melengkapkan kemenangan bergaya apabila merembat masuk bola hasil umpanan pendek Chanturu pada minit ke-85 untuk memastikan tiga mata berharga milik Kelantan dalam perlawanan malam tadi.-SH

Tiada ulasan: