| |
Kuala Lumpur - Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak adalah orang yang paling bertanggungjawab atas
kewujudan 'task force' yang memberi taraf kerakyatan kepada warga
asing, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.
"Apabila 'task force' itu memberi taraf kerakyatan kepada warga asing
bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya nanti, tak mungkin
mereka diberi kerakyatan untuk memilih mana-mana parti. Tentulah mereka
dikehendaki memilih Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Najib
sahaja.
"Lebih penting lagi,
tak mungkin 'task force' seperti itu boleh wujud tanpa keizinan dan
persetujuan Perdana Menteri memandangkan sebahagian dari yang terlibat
itu adalah pegawai-pegawai kerajaan berprofil tinggi," katanya.
Bagi Salahuddin, apa yang berlaku itu adalah satu pengkhianatan yang sangat keji ke atas kedaulatan negara dan undang-undangnya.
"Lebih malang lagi, bolehkah kita mendakwa bahawa Perdana Menteri bukanlah boss besar kepada 'task force' itu?
"Apabila
berlaku pengkhianatan, bolehkah kita mendakwa Perdana Menteri tidak
mengetuai pengkhianatan terhadap negara itu?" katanya.
Ahli
Parlimen Kubang Kerian itu juga yakin projek memenangkan BN yang
melibatkan 'task force' itu pasti menggasak wang rakyat dalam jumlah
yang sangat besar.
"Selepas
diberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka
mengundi dalam pilihan raya nanti, tentulah wajib diadakan sistem
pemantauan dan ugutan untuk memastikan warga asing berkenaan mengundi
BN.
"Semua itu tentulah menggasak
begitu banyak wang rakyat. Tak mungkin Najib dan para pemimpin Umno
dan BN mahu mengeluarkan wang dari poket sendiri untuk membiayai projek
memenangkan BN itu," kata Salahuddin.
Malah,
katanya, pelbagai kesan dan akibat dari tindakan membanjirkan negara
ini dengan warganegara asing yang diberi taraf kerakyatan itu juga
akan memakan belanja yang luar biasa besar.
"Dengan
taraf sebagai warganegara semata-mata kerana hendak memenangkan Umno
dan BN, mereka juga akan mendapat pelbagai keistimewaan yang
sememangnya dinikmati oleh rakyat negara ini. Semua itu akan memakan
belanja berterusan yang sangat besar jumlahnya.
"Negara
terpaksa menangung beban tambahan berterusan semata-mata kerana
hendak memenangkan Umno dan BN. Itu belum lagi diambilkira kesan dan
masalah sosial yang tidak dapat dielakkan akan tercetus," kata
Salahuddin.
Sebab itulah beliau yakin, 'task
force' tersebut akan menjadi pencetus kemarahan rakyat dan mereka
akan membanjiri ibu negara dan tempat-tempat perhimpunan lain yang
ditentukan di seluruh negara pada 28 April ini.
Bersih
3.0 menetapkan 28 April ini untuk mengadakan perhimpunan
besar-besaran duduk bantah di Dataran Merdeka dan di tempat-tempat
lain yang ditentukan di seluruh negara.
"Task
force' itu pasti menjadi satu lagi penyebab utama yang mendorong
seramai-ramai rakyat berhimpun dalam perhimpunan Bersih 3.0 seluruh
negara 28 April ini.
"500,000
duduk dan bantah di ibu negara bukanlah sesuatu yang mustahil untuk
dicapai oleh perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini," kata beliau.
Salahuddin
tidak menolak kemungkinan besar PAS akan menubuhkan 'task force'nya
sendiri bagi menghadapi kerja jahat 'task force' itu. -HD
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan