ADUN UMNO KUALA NERANG AKHIRNYA BERTERUS TERANG
Alor Setar - Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Kuala Nerang Datuk
Syed Sobri Syed Hashim malam tadi mengumumkan dirinya muflis setelah
gagal membayar baki hutangnya dengan bank tempatan berjumlah RM8 juta.
Naib Ketua Umno Bahagian Padang Terap itu berkata, hutang tersebut
adalah sebahagian daripada pinjaman RM50 juta yang diambil pada 1998
untuk membolehkan syarikatnya, Kulim Enterprise Sdn Bhd, disenaraikan di
papan kedua Bursa Saham Malaysia pada masa itu.
Bagaimanapun, negara mengalami kegawatan ekonomi ketika itu dan
syarikatnya gagal disenaraikan, menyebabkan beliau terpaksa menanggung
hutang berkenaan, Syed Sobri pada majlis perjumpaan dengan kira-kira 300
anggota dan pemimpin akar umbi Umno bahagian itu di rumahnya malam tadi
bagi menjelaskan kedudukan sebenar.
Beliau berkata pada Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengisytiharkannya sebagai muflis.
Syed Sobri berkata pemimpin Umno telah dimaklumkan mengenai perkara itu,
begitu juga dengan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak,
yang ditemuinya semalam.
Beliau berkata Azizan tetap menyuruhnya hadir pada persidangan Dewan Negeri Kedah yang akan bermula 17 April ini.
Bagaimanapun, Syed Sobri tidak akan berbuat demikian kerana berdasarkan
undang-undang negeri, beliau telah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat
berikutan statusnya sebagai muflis.
Perkara 47(1)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan negeri Kedah menyatakan
seorang anggota Dewan Negeri hilang kelayakan jika ia seorang muflis
yang belum dilepaskan.
Pada Pilihan Raya Umum 2008, Syed Sobri yang bertanding buat pertama
kali telah menewaskan calon PAS Zawawi Ahmad dengan majoriti 805 undi. -
Bernama

Tiada ulasan:
Catat Ulasan