KENYATAAN MEDIA
16 April 2012
UNTUK SEBARAN SEGERA
Jawapan kepada Tan Sri Isa Samad
KEADILAN mengutuk sekeras-kerasnya tuduhan liar dan tidak
bertanggungjawab Tan Sri Isa Abdul Samad, Pengerusi Lembaga Kemajuan
Tanah Persekutuan (LKTP) atau Federal Land Development Authority (FELDA)
yang kononnya KEADILAN cuba mempolitikkan dan mengelirukan rakyat
mengenai isu penyenaraian FELDA Global Ventures Holdings (FGVH).
Tan Sri Isa juga dinasihatkan agar berhati-hati dengan tuduhan beliau kerana KEADILAN sama sekali tidak pernah mendakwa kesemua
112,634 peneroka di 317 tanah rancangan dan 22,468 pekerja FELDA akan
dipaksa membeli saham FGVH dalam tawaran awam permulaan atau “initial public offering” (IPO) yang dijangka selesai selewat-lewatnya dalam bulan Jun 2012.
Sebaliknya, menurut sumber yang boleh dipercayai, KEADILAN sekadar mendedahkan bahawa peneroka
dan pekerja FELDA akan “dipaksa” membuat pinjaman pada kadar faedah
“daily rest” 5% setahun selama 6 bulan dengan 7 bank komersial terpilih untuk membiayai mohon beli saham IPO FGVH yang mana pembiayaan dengan simpanan sendiri tidak akan dibenarkan sama sekali.
Maka, amat jelas dakwaan Tan Sri Isa bahawasanya FELDA menyediakan
opsyen membeli saham IPO FGVH menggunakan wang sendiri adalah cubaan
mengelabui mata rakyat terutamanya peneroka dan pekerja FELDA
memandangkan ianya suatu pilihan yang sama sekali tidak wujud.
Selanjutnya, KEADILAN ingin menegaskan bahawa para peneroka dan
pekerja FELDA yang diluluskan pinjaman hanya ada dua pilihan, sama ada
membayar balik keseluruhan pinjaman dengan simpanan sendiri semasa
menerima borang merah jambu/biru bersama dengan rebat RM100 ATAUPUN
membayar balik pinjaman dalam tempoh 6 bulan menggunakan hasil jualan
saham FGVH di pasaran terbuka bersama dengan jumlah kadar faedah atas
pinjaman yang bergantung pada jumlah pinjaman (yakni harga IPO) dan
harga jualan serta fi dan caj sebanyak RM200. Sekali lagi amat jelas
bahawa “durian runtuh” yang diberi melalui kaedah “hutang paksa” ini
sebenarnya salah satu cara PM Najib memberi peluang baharu kepada
institusi kewangan terbabit terutamanya 5 bank pelaburan, 7 bank
komersial dan beberapa syarikat broker saham seperti yang KEADILAN
dedahkan sebelum ini untuk mendapat laba atas titik peluh dan pahit
maung peneroka dan pekerja FELDA. Sebagai contoh, sekiranya kesemua
135,102 peneroka dan pekerja FELDA memilih untuk membayar balik pinjaman
tersebut dalam tempoh 6 bulan, maka kutipan dalam bentuk fi dan caj
sebanyak RM200 sahaja menjangkau RM27 juta bagi ketujuh-tujuh bank
komersial terpilih.
Menurut garis masa yang ditetapkan, KEADILAN difahamkan bahawa mulai
16 April 2012, para pengurus cawangan bank-bank komersial terpilih akan
diberi taklimat menyentuh segala maklumat terperinci mengenai pinjaman
untuk pembelian saham atau “share margin financing” ini. Bermula 23 atau
24 April 2012, selama 8-9 hari, 7 bank komersial terpilih ini dijangka
memulakan roadshow untuk memberi penerangan kepada para
peneroka dan pekerja FELDA di kesemua 317 tanah rancangan di mana mereka
akan diminta menandatangani borang permohonan pinjaman pembiayaan
pembelian saham. Permohonan pinjaman ini kemudiannya akan diproses di
antara 7 Mei dan 22 Mei 2012. Pihak bank-bank komersial tersebut akan
memaklumkan FELDA dan para pemohon semua permohonan yang lulus dan gagal
sebelum atau pada 22 Mei 2012.
Seterusnya, pada hari yang digelar hari “T”, wakil FELDA akan
menyerahkan borang biru dan merah jambu masing-masing kepada peneroka
dan pekerja FELDA yang berjaya dalam permohonan untuk diisi dan perlu
dikembalikan kepada wakil FELDA paling lewat pada hari “T+1”.
Selewat-lewatnya pada hari “T+3”, bank-bank terbabit dijadualkan
menerima semula borang biru dan merah jambu yang telah diisi ini bersama
dengan senarai akhir permohonan yang diluluskan. Mereka yang memilih
untuk membayar balik keseluruhan pinjaman pada hari penerimaan borang
biru atau merah jambu dinasihatkan membeli bank deraf boleh dibayar
kepada bank yang meluluskan pinjaman. Bermula pada hari “T+3”, bank-bank
akan memproses borang biru dan merah jambu serta mengeluarkan
pembayaran membeli saham IPO FGVH kepada “registrar”, Symphony House
Berhad selewat-lewatnya pada hari “T+8”. Pada hari yang sama, borang
biru dan merah jambu akan diserahkan kepada gedung terbitan atau
“issuing house”.
KEADILAN sekali lagi ingin menegaskan bahawa Pakatan Rakyat tidak
pernah dan tidak akan sama sekali menghalang sebarang inisiatif yang
memberi manfaat dan kemudahan kepada rakyat yang memerlukan terutamanya
peneroka dan pekerja FELDA yang sememangnya berhak mendapat ganjaran
atau habuan dalam apa jua bentuk.
Jika PM Najib dan FELDA benar-benar ikhlas dengan niat menawarkan
peneroka dan pekerja FELDA “durian runtuh sebagai menghargai kerja keras
dan pengorbanan mereka selama ini” dan “mempermudahkan penyertaan
mereka untuk menikmati segala faedah daripada penyenaraian FGVH”,
KEADILAN ingin menegaskan bahawa kaedah terbaik untuk memberi
pengiktirafan yang sewajarnya atas jerih-perih dan ketabahan peneroka
dan pekerja FELDA serta peluang menikmati manfaat memiliki saham sebuah
syarikat “blue chip” yang tersenarai di Bursa Malaysia secara mampan
adalah menerusi pemberian saham percuma, sekaligus
menepati definisi “durian runtuh” dalam ertikata yang sebenar, bebas
daripada belenggu hutang. Tanpa saham percuma, PM Najib dan Kerajaan
Barisan Nasionallah yang sebenarnya memperlekeh pengorbanan peneroka dan
pekerja FELDA selama ini!
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai, merangkap
Naib Presiden KEADILAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan