3 April 2012
“Apa pun saya dengan rendah diri memohon kita semua hormati undang-undang,” kata Annuar menerusi laman sosial Facebooknya, semalam.
Rata-rata penyokong bola sepak kurang bersetuju dengan tindakan FAM, yang menganggap kritikan Annuar terhadap prestasi skuad kebangsaan baru-baru ini satu kesalahan besar dan bakal berdepan dengan hukuman berat.
Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berdepan dua pertuduhan iaitu melanggar Artikel 88 di bawah Perlembagaan FAM, di mana memberi kenyataan media tanpa kebenaran Presiden dan Setiausaha Agung serta memberi kenyataan bercanggah serta mempertikai keputusan Eksekutif FAM.
Annuar yang terharu dengan sokongan moral dari seluruh negara terutama peminatnya berharap semua pihak mengawal perasaan dalam setiap tindakan yang diambil.
“Saya mohon kita tidak menyerang FAM secara melulu dan menyentuh kemuliaan Duli Yang Maha Mulia, Tuanku (DYMM) sebagai Presiden FAM.
“Saya redha hadapi isu ini secara berdepan dan akan menurut segala peraturan,” katanya.
Kelmarin, lebih 500 penyokong The Red Warriors mengadakan perhimpunan secara aman di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Perhimpunan itu bagi membantah tindakan badan induk bola sepak kebangsaan yang mahu menggantung Annuar.
Annuar berkata, pendiriannya tidak akan goyah dalam apa jua keadaan demi kebenaran dan tanggungjawab yang dipikul, sebaliknya akan menghadapi kes ini dengan tenang.
“Janganlah kita memusuhi FAM kerana FAM adalah tanggungjawab semua,” katanya.
Annuar baru-baru ini mengkritik secara terbuka prestasi skuad kebangsaan yang kurang meyakinkan dan ragu-ragu terhadap kemampuan Malaysia mempertahankan Piala Suzuki AFF November ini.
Berikutan itu, Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah menegur Annuar sambil menyifatkan tindakan bekas menteri Kabinet itu sebagai satu kesalahan amat besar.
Annuar akan bertemu Jawatankuasa Disiplin badan induk bola sepak negara, esok.-SH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan