Delegasi KEADILAN di hadapan pejabat
Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC)
Delegasi KEADILAN telah
mengadakan pertemuan dan memberi keterangan kepada Suruhanjaya Bebas
Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) pada jam 230 petang, 13 Disember 2012.
Bukti-bukti dan dokumen juga telah diserahkan kepada ICAC dalam
pertemuan yang memakan masa satu jam itu.
Delegasi KEADILAN juga
mengadakan pertemuan susulan dengan YB James To, ahli Majlis Perundangan
Hong Kong yang juga Naib Pengerusi, Panel Keselamatan dan Undang-undang
Majlis Perundangan yang bertanggungjawab menyelia ICAC.
Delegasi KEADILAN
disertai oleh YB William Leong (Ahli Parlimen Selayang), YB Hee Loy
Sian (Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan), YB Chang Li Kang (ADUN
Teja), Saudara Darell Leiking (Timbalan Setiausaha Agong/Ketua Cabang
Penampang) dan saya sendiri.
Semasa pertemuan
tersebut, saya yakin bahawa bukti-bukti dan dokumen yang diserahkan,
termasuklah keseluruhan penyata bank dan urusniaga keluar masuk wang ke
dalam akaun bank dua buah syarikat yang dikaitkan dengan Michael Chia
(iaitu Zenique Investments Ltd dan Blisstop Corporation Ltd) di Hong
Kong merupakan bukti baru dan dokumen yang belum diperolehi oleh ICAC.
Begitu juga dengan akuan
bersumpah oleh Dato’ Seri Lajim Ukin yang menafikan bahawa wang RM40
juta adalah derma politik kepada Umno kerana ia tidak pernah diumumkan
kepada pengurusan Umno Pusat atau Umno Sabah, yang dipandang serius oleh
ICAC.
Malah, saya yakin bahawa
ICAC akan memanggil saksi rahsia yang telah tampil untuk memberi
keterangan dan maklumat dalaman mengenai Michael Chia kepada ICAC. Saya
juga yakin Dato’ Seri Lajim Ukin akan dipanggil untuk memberi keterangan
di Hong Kong.
Pun begitu, ICAC memohon
kerjasama kami untuk tidak membuat kenyataan lanjut mengenai kes ini
mengikut prosedur mereka bagi melindungi kerahsiaan siasatan. Oleh yang
demikian, kami tidak boleh menyatakan secara terperinci hasil
perbincangan atau pun mendedahkan rancangan seterusnya seperti yang
diputuskan oleh ICAC.
Saya
beranggapan bahawa permintaan ICAC supaya butiran siasatan setakat ini
dirahsiakan mengesahkan bahawa ICAC memandang serius kes ini dan akan
mengambil tindakan susulan termasuklah memanggil saksi-saksi.
Oleh itu, walaupun ICAC
tidak akan mengesahkan secara rasmi bahawa kes ini dibuka semula,
keseriusan dan perhatian yang diberikan mengenai kerahsiaan kes
membayangkan bahawa siasatan penuh akan menyusul.
Pertemuan dengan YB
James To juga membuahkan hasil. Beliau turut menerima salinan bukti dan
dokumen atas tanggungjawab beliau sebagai Naib Pengerusi, Panel
Keselamatan dan Undang-undang.
YB James To memaklumkan
kepada delegasi bahawa ada kemungkinan besar Dato’ Seri Musa Aman boleh
didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram (“money laundering”)
yang undang-undangnya lebih ketat di Hong Kong berbanding di
negara-negara lain. Jika didapati bersalah, pihak berkuasa Hong Kong
boleh mengeluarkan waran tangkap melalui Interpol dan boleh
dikuatkuasakan di Malaysia.
Perkembangan sihat di
Hong Kong ini akan terus disusuli dengan kempen-kempen penerangan
terbaru di Sabah dan seluruh Malaysia untuk meningkatkan tekanan supaya
pihak SPRM dan Peguam Negara menyiasat kembali kes ini.
RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
13 DISEMBER 2012
Berita dari: Kerajaan Rakyat

Tiada ulasan:
Catat Ulasan