Ahad, 12 Ogos 2012

Parti-parti politik Sabah ‘seperti mati’ selepas era Dr Mahathir



Oleh Nomy Nozwir

KUALA LUMPUR, 10 Ogos — Parti-parti politik di Sabah seperti “sudah mati” selepas Tun Dr Mahathir Mohamad berkuasa menjadi perdana menteri dengan kehadiran ramai pendatang tanpa izin ke negeri itu, kata timbalan pengerusi Parti Perubahan Negeri (Star), Daniel John Jimbun.
Beliau mendakwa projek IC Dr Mahathir telah menyebabkan ramai warga asing menjadi pengundi dalam pilihan raya dan kepentingan penduduk asal tidak lagi diambil kira.

“Kenyataan Dr Mahathir pada hari Rabu yang lalu tentang warga asing yang sudah tinggal di Sabah harus mendapat kewarganegaraan sangat membahayakan, dan Star mencabar parti-parti komponen BN di Sabah supaya keluar agar dapat membela warga tempatan,” katanya lagi.
“BN Sabah tidak seharusnya mempertahankan kenyataan Dr Mahathir, kerana kenyataan ini mendahului
Suruhanjaya Di Raja (RCI)  mengenai isu ini,” kata Jimbun lagi.
Katanya, dalam tulisan blog terbaru, Dr Mahathir seolah-olah menghalalkan mereka untuk datang ke negeri Sabah dan seterusnya mengenepikan warga asal Sabah.
“Seharusnya kita mempunyai Perlembagaan yang baru untuk tahun 1963, tetapi sebaliknya

Perlembagaan yang digunakan adalah Perlembagaan Malaya yang kemudiannya ditukar menjadi Perlembagaan Malaysia.
“Tulisan beliau dalam blog menunjukkan beliau terlibat dalam Projek IC yang memberi MyKad kepada warga asing tanpa izin di Sabah,” kata Jimbun lagi.
Jimbun memberi contoh seperti Majid Kani yang dilahirkan di Tamil Nadu, dan tidak pernah tinggal di Sabah lebih dari sepuluh tahun mengikut perjanjian semasa Sabah menyertai Malaysia, namun diberikan
MyKad dan dibenarkan mengundi.

“Pendatang tanpa izin tidak seharusnya diberikan kewarganegaraan hanya kerana kebolehannya bercakap bahasa Malaysia, tetapi kewarganegaraan harus diberi jika dia hanya memasuki negara ini dengan sah dan bukan dari jalan belakang,” kata Jimbun lagi.
Jimbun bagaimanapun berkata, pendatang tanpa izin ini perlu diberi pengampunan dan dilayan dengan penuh kemanusiaan, seperti menghantar mereka pulang, atau hanya mengenakan denda sekurang-kurangnya RM300 seperti di tahun 1965 di Semenanjung Malaysia, dan nama mereka perlu dibuang dari senarai pemilih pilihan raya.

“Adalah lebih baik pengampunan ini dilakukan sebelum pilihan raya umum ke-13 sejak banyak nama mereka berada dalam senarai pemilih, bahkan mereka ini ada yang bekerja dalam sektor kerajaan, termasuk di Jabatan Tanah dan memegang jawatan di jabatan-jabatan negeri dan persekutuan,” kata Jimbun lagi.

Tiada ulasan: