APAKAH
FGVH DAPAT MEMBANTU PENEROKA JIKA DISENARAIKAN
Felda Holding Berhad (FBH) adalah
sebuah syarikat yang maju dan berdaya saing. Pada tahun 2009 sahaja, FHB yang
menumpukan perniagaannya di dalam negara melalui 47 anak-anak syarikatnya yang
aktif telah mencatat perolehan (revenue) sebanyak RM11.8 bilion dan keuntungan
sebelum cukai sebanyak RM804.3 juta.
Hasil daripada dividen dan bonus
yang dibayar dari keuntungan FHB itu telah membolehkan KPF, selaku pemegang
saham majority di dalam FHB (51%), merekodkan perolehan sebanyak RM15.64 bilion
pada tahun kewangan berakhir 2010 dan juga keuntungan sebelum cukai sebanyak
RM766,660 juta. Kejayaan ini telah membawa kepada kejayaan KPF dianugerahkan
sebagai Koperasi Terbaik Negara 2010 (kategori kluster besar).
Sejak beberapa tahun kebelakangan
ini, jelas menunjukkan hasil dari dividen dan bonus yang diperolehi dari
keuntungan FHB telah menjadi antara penyumbang utama kepada pendapatan KPF
selaku pemegang amanah bagi pihak ahli-ahlinya, terutama para peneroka di
tanah-tanah rancangan FELDA.
Pada tahun 2010 sahaja, FHB telah
membayar dividen sebanyak RM237.64 juta kepada KPF dan sekaligus menjadi antara
penyumbang utama terhadap bayaran dividen sebanyak 15% yang diagihkan oleh KPF
kepada 220,210 orang anggotanya, selain dari hasil keuntungan perniagaan yang
dijalankan sendiri oleh KPF dan anak-anak syarikatnya yang lain.
Tidak syak lagi peneroka dan ahli
keluarga peneroka adalah ‘tulang belakang KPF’ di mana keahliaan KPF telah
mencecah 220,210 orang ahli dengan 193,506 orang ahlinya iaitu sekitar 87.9% adalah dari kalangan peneroka, ahli keluarga
dan generasi kedua.
Manakala dari segi modal syer,
peneroka merupakan pemilik kepada RM1.17 bilion nilai modal syer yang bersamaan
dengan 71.83% dari keseluruhan modal syer KPF.
Di dalam struktur baru selepas
dari pentrukturan semula dan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia, KPF dikatakan
akan melepaskan kepentingan sebanyak 51% di dalam FHB di mana nanti FHB dan
seluruh komponennya akan diletakkan di bawah FGVH dan KPF akan memegang
kepentingan sebanyak 60% di dalam struktur baru FGVH ini bagi mewakili para
peneroka dan kakitangan FELDA.
Soal pegangan KPF sebanyak 51%
atau 60% sebenarnya tidaklah begitu penting sangat. PERSOALAN PALING PENTING
DAN PALING MUSTAHAK UNTUK DIBERIKAN JAWAPAN IALAH :
APAKAH
JAMINAN BAHAWA FGVH SELEPAS DISENARAIKAN NANTI AKAN MAMPU MEMBAWA
PULANGAN/KEUNTUNGAN DALAM BENTUK DIVIDEN DAN BONUS UNTUK DIBAYAR KEPADA KPF,
DALAM JUMLAH YANG SAMA SEBAGAIMANA YANG MAMPU DIBAYAR OLEH FHB SEBELUM INI IAITU
RM289.69 JUTA PADA TAHUN
2009 DAN RM237.64 JUTA PADA TAHUN 2010?
Jika FHB selama ini mempunyai track record
yang baik, tetapi pada FGVH pula yang menjalankan perniagaan dan pelaburan di
luar negara hanya nampak gah dari segi nama, tetapi pencapaiannya begitu
mengecewakan dan memalukan.
Ketua Pembangkang Parlimen, Dato’ Seri Anwar
Ibrahim pernah mendedahkan bagaimana pelaburan-pelaburan yang dijalankan oleh
anak-anak syarikat FGVH seperti FELDA Iffco Sdn Bhd, FELDA Global Technologies
melalui Twin Rivers Technologies US (TRT), FELDA Global Ventures Middle East
dan FELDA Global Ventures Arabia semuanya mencatakan kerugian terkumpul hampir
RM500 juta setakat tahun 2010.
Persoalannya, bagaimana syarikat yang rugi
dan lemah boleh ‘menelan’ sebuah syarikat yang maju dan terbukti
‘profitability’nya?
Tidakkah dari segi amalan kewangan dan
perakaunan, FHB yang kukuh dari segi kewangannya akan terpaksa menampung dan
menangggung segala macam kerugian dan masalah yang dialami oleh FGVH?
Jika ini berlaku, kita tak nampak bagaimana
FGVH boleh memberikan pulangan yang diharapkan kepada peneroka dan apa yang
boleh dicapai hasil dari penyenaraian ini.
Terlebih penting ialah penyenaraian FGVH akan
membuka ruang kepada orang luar(bukan bumiputera) menjadi pemegang saham;
sekaligus menjejaskan kepentingan hak melayu atas Felda yang wujud sejak tahun
1956. Akan ada orang luar menjadi Lembaga Pengarah yang bakal mencorakkan
polisi Felda di masa depan.
Ianya tidak pernah di minta oleh orang luar;
sebaliknya pemimpin politik melayu UMNO sendiri yang memberinya! Mana dia ikrar
dan tempik sorak HIDUP MELAYU serta sumpah keramat sanggup mati demi melayu
yang menjadi zikir pemimpin UMNO? Adalah jelas, pemimpin UMNO menjadi
PENGKHIANAT kepada orang melayu!
Penyenaraian FGVH adalah merupakan percubaan
kedua yang gagal kali pertama di zaman Tun Dr Mahathir tahun 2003. Ia didalangi
oleh seorang menteri kabinet. Apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana
Menteri, beliau membatalkan cadangan penyenaraian Felda Holding ke BSKL(kini Bursa Malaysia).
Perdana Menteri ketika membentangkan bajet
pada 7 oktober lalu mengisytiharkan dengan bangganya bahawa peneroka akan
mendapat ‘durian runtuh’ apabila FGVH disenaraikan di Bursa Malaysia.
Anak difahamkan setiap peneroka akan mendapat
saham percuma sebanyak RM15,000. Gula-gula untuk memperdaya peneroka agar
bersetuju dengan penyenaraian tersebut yang kononnya bakal memberi pulangan
lumayan. Inilah taktik yang sama digunakan oleh penjajah jika berdepan dengan
penduduk atau menjinakkan penentangnya. Adakah pemimpin UMNO dan kuncu-kuncunya
menjadi penjajah moden? Kata pelawak Nabil; LU FIKIRLAH SENDIRI!
ISU TAN SRI
ISA SAMAD DAN KPF
Tan Sri Isa Samad nampaknya sekarang menjadi
orang yang paling berkuasa atau Maharaja di dalam FELDA. Mula-mula dilantik PM
sebagai Pengerusi FELDA menggantikan Tan Sri Yusuf Nor. Untuk mendamaikan Yusuf
Nor, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Yayasan FELDA.
Tetapi beberapa bulan lepas, Yusuf Nor telah
turut ditendang dari jawatannya sebagai Pengerusi Yayasan FELDA. Pengggantinya
tak lain tak bukan ialah Isa Samad. Yusuf Nor semakin tidak dipedulikan dan
sekarang hanya dilantik sebagai Penasihat FELDA .
Selepas berjaya membolot jawatan Pengerusi
FELDA dan juga Yayasan FELDA, Isa nampaknya masih tak puas hati. Beliau
kemudiannya dengan penuh muslihat cuba menempatkan dirinya sebagai Pengerusi
KPF dengan mengenepikan Pengarah Besar FELDA, Datuk Zulkifli Wahab yang mana
memang secara tradisinya Pengarah Besar atau mana-mana kakitangan kanan FELDA
akan dilantik sebagai Pengerusi KPF. (Dalam Koperasi Felda Rancangan Pengurus
dilantik secara automatic sebagai Penaung Koperasi)
Hasrat penubuhan KPF pada 1980 adalah murni.
Apabila FELDA mula membuka sayap perniagaannya dengan menubuhkan
syarikat-syarikatnya pada tahun 1980an, maka KPF ini selaku koperasi induk
kepada peneroka dan kakitangan FELDA ditugaskan untuk memegang kepentingan
peneroka dan kakitangan FELDA di dalam syarikat-syarikat perniagaan yang
diceburi oleh FELDA di samping KPF sendiri selaku sebuah koperasi turut bergiat
dalam pelbagai aktiviti perniagaan dan pelaburan.
Kemampuan pengurusan KPF yang bebas dari
campur tangan orang politik oleh kerana hanya melibatkan peneroka dan
kakitangan FELDA, adalah terbukti bilamana KPF telah diisytiharkan sebagai Koperasi
Terbaik di Malaysia bagi tahun 2010 (kategori Kluster Besar) dengan perolehan
lebih RM15 bilion hingga mengalahkan Bank Rakyat yang menduduki tempat kedua
dengan perolehan hanya disekitar RM3 bilion.
Keuntungan KPF ini diperolehi hasil dari
pembayaran keuntungan dan dividen oleh FHB yang dimiliki sebanyak 51% oleh KPF
di samping keuntungan dari perniagaan yang dijalankan oleh syarikat-syarikat
kumpulan KPF seperti D’Saji dan juga FELDA Trading Sdn. Bhd. Hasil dari
keuntungan inilah menyebabkan KPF mampu membayar dividen sebanyak 15% kepada
ahli-ahlinya.
Hingga setakat ini, keahliaan KPF telah
mencecah 220,210 orang ahli dengan 193,506 orang ahlinya iaitu sekitar 87.9%
adalah dari kalangan peneroka, ahli keluarga dan generasi kedua.
Ramai melihat KPF ini sebagai lombong emas
apatah lagi reputasinya sebagai sebuah koperasi terkaya di Malaysia yang ‘cash
rich’. Baru-baru ini Anak dapat tahu KPF membuat pelaburan dengan membeli blok
ruang komersil dan pejabat di kawasan Southgate, Sungai Besi dengan harga lebih
kurang RM200 juta dengan tidak membuat sebarang pinjaman bank. Maka, tidak
hairanlah KPF menjadi sasaran pihak-pihak tertentu yang ingin membolot hasil
dan keuntungan KPF.
Cubaan melantik Isa sebagai Pengerusi KPF
dipenuhi dengan tindak tanduk yang bertentangan dengan undang-undang.
Beliau sebenarnya tidak layak menjadi ahli
KPF dan keahliannya di dalam KPF adalah bertentangan dengan undang-undang
disebabkan jawatan beliau sebagai Pengerusi KPF adalah hanya bertaraf kontrak
sedangkan Undang-Undang Kecil KPF mensyaratkan bahawa mereka yang layak menjadi
Ahli KPF ialah peneroka FELDA, isteri dan anak-anak dan juga kakitangan FELDA
yang berstatus tetap. Tetapi adalah sesuatu yang amat menghairankan apabila
pada 23hb Jun 2011 (sehari sebelum Mesyuarat Agung KPF bagi tahun 2011) beliau
tiba-tiba telah menjadi Ahli KPF.
Tak sampai dua bulan selepas
menjadi Ahli KPF, Ketua Setiausaha Sulit Kanan kepada PM iaitu Datuk Aziz telah
menulis surat bertarikh 15hb Ogos 2011 kepada Isa memaklumkan bahawa PM telah
bersetuju supaya Isa dilantik sebagai Pengerusi KPF yang baru dengan
mengenepikan begitu sahaja Datuk Zulkifli Wahab, Pengarah Besar FELDA yang baru
sahaja tak sampai dua bulan disahkan perlantikannya sebagai Pengerusi KPF di
dalam Mesyuarat Agung KPF.
Isunya di sini : Apa kuasa PM
untuk campur dalam hal-ehwal dalaman sebuah koperasi yang mempunyai
undang-undangnya sendiri dan tertakluk kepada Akta Koperasi dan juga
Suruhanjaya Koperasi Malaysia? Kenapa undang-undang dilanggar dengan tidak
memperdulikan suara lebih 200 ribu ahli-ahli KPF untuk menentukan kepimpinan
KPF yang mereka anggotai?
Jika Isa layak sekalipun menjadi
Ahli KPF, namun perlantikan beliau sebagai Pengerusi KPF tetap melanggar
peruntukan di dalam Seksyen 43 Akta Koperasi 1993 dan juga Undang-Undang Kecil
KPF sendiri di mana disyaratkan mana-mana ahli sesebuah koperasi yang hendak
dilantik atau dipilih sebagai Anggota Lembaga sesebuah koperasi itu hendaklah
telah genap dua (2) tahun menjadi Ahli bagi koperasi itu.
Macamana Isa hendak menjadi
Pengerusi KPF sedangkan beliau baru dua (2) bulan menjadi Ahli KPF?
Anak difahamkan isu perlantikan
Pengerusi KPF ini dan penyingkiran Datuk Zulkifli Wahab ini sedang menjadi isu
yang hangat di kalangan peneroka dan warga FELDA keseluruhannya yang majoriti
besar membantah keras tindakan yang membelakangkan undang-undang ini.
Telah ada ahli-ahli KPF yang
menyatakan hasrat akan menyaman perkara ini ke Mahkamah di sebabkan oleh
tindakan kerajaan ini yang langsung tidak menghormati mereka sebagai ahli di
samping membelakangkan undang-undang dan peraturan. Soalnya, apakah Kerajaan
dan FELDA ingin berterusan membawa imej buruk dengan acapkali disaman di
Mahkamah semata-mata kerana mepertahankan seorang individu yang jelas punya
kepentingan politik?
Anak tahu hujah dan strategi yang
digunakan untuk tetap juga melantik sebagai Pengerusi KPF ialah dengan
bersandarkan kepada Seksyen 87 Akta Koperasi 1993 yang memberi kuasa kepada
Menteri yang menjaga hal ehwal koperasi untuk mengecualikan mana-mana koperasi dari
tertakluk di bawah mana-mana peruntukan di dalam Akta Koperasi.
Ini bermakna dalam kes ini
Menteri boleh mengecualikan pemakaian Seksyen 43 Akta Koperasi 1993 berkaitan
dengan syarat keahlian selama dua tahun untuk membolehkan seseorang itu
dilantik sebagai Anggota Lembaga Koperasi terhadap KPF bagi membolehkan Isa
ditabalkan sebagai Pengerusi KPF yang baru.
Namun harus diingat, Menteri
bukannya berkuasa mutlak untuk berbuat demikian. Dalam akta dan juga kaedah
undang-undang yang biasa, mana-mana pihak berkuasa atau Menteri yang diberi
kuasa seumpama ini, harus menunjukkan dan memberikan alasan yang kukuh kenapa
beliau bertindak memberi pengecualian tersebut. Ini bermakna, Menteri tetap
mempunyai duty to give reason sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang.
Anak telah mengiringi lebih 20
orang wakil peneroka seluruh Negara menyerahkan aduan kepada Suruhanjaya
Koperasi Malaysia pada 18 Oktober lalu. Beberapa orang pemegang saham KPF telah
juga membuat bantahan melalui tribunal SKMM pada hari yang sama.
Seterusnya Anak ingin juga
membangkitkan isu yang lebih menggemparkan, iaitulah sebenarnya perlantikan Isa
sebagai Pengerusi KPF adalah tidak sah sama sekali dan perlu dibatalkan oleh
kerana terdapat unsur-unsur jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa di
dalamnya.
Kenapa saya berani mengatakan
begini? Untuk pengetahuan semua, menurut undang-undang KPF, daripada
keseluruhan 12 orang Anggota Lembaga KPF, tiga (3) daripadanya hendaklah
dipilih dari kalangan ahli KPF yang baru dilantik atau dinamakan oleh Lembaga
Pengarah FELDA, tertakluk kepada pengesahan di dalam Mesyuarat Agung KPF.
Undang-Undang Kecil KPF juga
menyatakan dengan jelas bahawa tiga orang ini yang dinamakan oleh Lembaga
Pengarah FELDA untuk duduk di dalam Lembaga KPF hendaklah memegang jawatan
sebagai Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari KPF.
Dari segi amalannya, kebiasaannya
tiga orang ini adalah dinamakan atau dilantik dari kalangan kakitangan kanan
FELDA. Sebagai contoh, pada masa ini Datuk Zulkifli Wahab selaku Pengarah Besar
FELDA adalah juga Pengerusi KPF. Manakala jawatan Setiausaha dan Bendari KPF
pula diisi oleh dua orang Timbalan Pengarah Besar FELDA.
Sebaik mendapat surat dari Ketua
Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri yang bertarikh 15hb Ogos 2011
sebagaimana yang saya nyatakan di atas, Isa kemudiannya telah memanggil secara
tergesa-gesa satu Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah FELDA pada 25hb Ogos 2011,
iaitu beberapa hari sahaja sebelum Hari Raya Aidilfitri. Kenapa tak boleh
tunggu selepas Raya?
Bahkan nampaknya tarikh ini
sengaja dipilih kerana ketika itu Pengarah Besar FELDA, Datuk Zulkifli Wahab
yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah FELDA berada di Mekah untuk
menunaikan Umrah. Dari sini Anak nampak bagaimana konspirasinya.
Perkara yang dibincangkan di
dalam Meyuarat Lembaga Pengarah FELDA ini adalah supaya Lembaga Pengarah FELDA
melantik Isa sebagai Pengerusi KPF atas alasan Isa telah menerima surat dari
KSUSK PM yang merestui perlantikan Isa sebagai Pengerusi KPF.
Usul atau cadangan untuk melantik
Isa menggantikan Datuk Zulkifli ini telah dibawa oleh Dr Omar Salim, Ketua Unit
Kawal Selia FELDA di JPM dan disokong kuat oleh Datuk Sabri Ahmad, CEO Felda
Global Ventures yang prestasinya dipertikaikan akibat kerugian besar di dalam
pelaburan-pelaburan di luar negara.
Amat mengejutkaan sama sekali
kerana sewaktu cadangan Dr Omar Salim ini dibincangkan oleh ahli mesyuarat
Lembaga Pengarah FELDA, Anak mendapat maklumat yang menyatakan bahawa Isa yang
merupakan orang yang berkepentingan dan menjadi subjek perbincangan telah tidak
keluar meninggalkan mesyuarat bahkan terus mempengerusikan Mesyuarat dalam
keadaan mesyuarat itu membincangkan kedudukan peribadinya!
Bagaimana ahli-ahli Lembaga
Pengarah FELDA hendak membincangkan secara bebas dan telus usul tersebut
sekiranya tuan empunya diri turut berada dalam mesyuarat!? Takkanlah FELDA
sebagai sebuah agensi kerajaan yang berprestij tidak tahu bahawa kelakuan
sebegini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 2 Ordinan Darurat Kuasa-kuasa perlu No 22/1970
?. SPRM mesti menyiasatnya!
Inilah yang Anak katakan bahawa
perlantikan ini adalah tidak sah oleh kerana terdapat perlakuan jenayah rasuah
di dalamnya.
Secara spesifik, terdapat empat
orang pemimpin politik UMNO bertanggungjawab dan bersubahat di dalam perlakuan
yang melanggar undang-undang rasuah ini iaitulah PM sendiri selaku Menteri yang
bertanggungjawab dalam soal FELDA, YB Datuk Ahmad Maslan yang merupakan
Timbalan Menteri di JPM yang menjaga hal ehwal FELDA, YB Hamim Samuri MP Ledang
yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah FELDA dan juga YB Datuk Ismail Mutalib MP
Maran yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah FELDA.
Ini bermakna, bukan sahaja
tindakan mengadakan mesyuarat ini amat tidak beretika dan berakhlak kerana
diadakan secara ’serang hendap’ dalam keadaan orang yang hendak digugurkan itu
berada di Makkah, bahkan yang lebih besar ialah berlakunya salah laku jenayah
rasuah disebabkan Pengerusi mesyuarat yang punya kepentingan terus duduk dalam
mesyuarat sewaktu agenda yang melibatkan kedudukan peribadinya dibincangkan.
Anak masih ingat sewaktu Isa
hendak dilantik sebagai Pengerusi FELDA pada awal tahun ini (2011) menggantikan
Tan Sri Yusuf Nor, dua orang tokoh terkemuka iaitu Allahyarham Prof Dr Zainal Aznam
(Penasihat Bank Negara dan Ahli MTEN) dan juga Datuk Tengku Zafrul Tengku Aziz
(CEO Maybank Investment) secara terbuka mempertikaikan perlantikan Isa atas
alasan ianya akan memberi imej yang buruk di dalam pasaran akibat dari reputasi
Isa yang pernah disabitkan bersalah oleh Lembaga Disisplin UMNO selepas
Pemilihan UMNO 2004 akibat kesalahan rasuah politik wang hinnga Isa dibuang
dari jawatan Naib Presiden UMNO dan disingkirkan dari kabinet. Anak daripada
awal membantah keras perlantikan Isa dan menggerakkan kempen ‘ Katakan tidak
kepada Isa Samad’. Namun ianya tidak dipedulikan langsung oleh PM.
Anak percaya penasihat-penasihat
politik kepada PM ada memberikan nasihat berkaitan dengan Isa ini yang mana
perlantikan ini jika diteruskan akan memburukkan lagi imej PM di mata rakyat.
Saya percaya nasihat yang sama bukan hanya diberikan pada masa ini, tetapi juga
pada ketika Isa hendak dilantik sebagai Pengerusi FELDA lebih kurang setahun
yang lalu. Namun, saya hairan kenapa PM begitu takut dan menurut sahaja
kehendak Isa? Apa sebenarnya yang menyebabkan PM sanggup menjadikan Isa begitu
berkuasa di FELDA?
Justeru; menyedari dan menginsafi
tindak tanduk Isa Samad dan Sabri Ahmad yang didalangi oleh PM serta Ahmad
Maslan; Gerakan Mansuhkan Isa 2.0 dilancarkan di Parlimen pada 18 Oktober lalu.
Kempen memungut tandatangan sedang digerakkan ke seluruh Negara. Bukan sahaja
tertumpu kepada 1.6 juta warga Felda tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya.
Siri Munajat termasuk solat hajat, taklimat dan dialog. Pengedaran risalah,
info melalui blog, facebook, twitter akan dimaksimumkan. Sokongan semua pihak
dalam pelbagai cara sangat di alu-alukan.
Memorandum kepada PM beserta
tandatangan bantahan akan diserah sebelum tamat sidang Dewan Rakyat yang sedang
berlangsung ketika ini. Isa Samad WAJIB dinyahkan sebagai Pengerusi Felda.
Beliau memberi banyak masalah kepada warga Felda. Berilah kepercayaan kepada
pemimpin yang bersih, telus dan berwibawa khususnya 10 ribu cerdik pandai anak
peneroka Felda yang di umum oleh Datuk Ahmad Maslan beberapa bulan lalu. Tidak
adakah yang layak menerajui Felda?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan