Saya mengalu-alukan kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) menyiasat sehingga ke peringkat pendakwaan kes penyelewengan
melibatkan satu unit anak syarikat FELDA. Pendakwaan yang dibuat pada
hari ini adalah satu perkembangan baik yang perlu diteruskan oleh SPRM.
Walau bagaimana pun, siasatan dan pendakwaan berhubung kes ini tidak
boleh terhenti di peringkat kepimpinan korporat KPFQ Foods Sdn Bhd
semata-mata kerana ia juga melibatkan keputusan di peringkat tertinggi
Felda yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tata kelola (good
governance) dan pelaburan kesemua anak syarikat Felda.
KPFQ Foods Sdn Bhd adalah syarikat usahama (joint venture) di antara
Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPFMB) dan Silver Bird Group
Berhad (SBGB) yang ditubuhkan khusus untuk menjadi ejen pemasaran bagi
barang-barang makanan dan pertanian dari rancangan Felda di seluruh
negara melalui projek Gedung Makanan Negara yang diilhamkan dan
dilancarkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak oada 3 September 2009.
Semasa pelancarannya, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa
projek Gedung Makanan Negara akan melibatkan pelaburan sebanyak RM750
juta oleh Felda dalam tempoh 10 tahun.
Oleh yang demikian, kes penyelewengan dana melibatkan KPFQ Foods Sdn
Bhd perlu diteliti dalam konteks pentadbiran korporat dan tata kelola
yang lebih besar.
Tambahan lagi, akhir-akhir ini banyak dana rakyat digunakan untuk
membiayai projek usahasama di antara agensi kerajaan dan swasta yang
menimbulkan beberapa persoalan khusus mengenai tata kelola yang
diamalkan oleh kerajaan:
1. Bagaimanakah penilaian mengenai kesesuaian projek dibuat sebelum
sesuatu keputusan pelaburan dan usahasama dengan swasta dibuat
memandangkan beberapa skandal setakat ini (termasuk NFC dan sekarang
KPFQ) membayangkan jika projek dinilai dengan objektif, projek atau
usahasama ini mungkin tidak diluluskan;
2. Apakah peranan wakil-wakil kerajaan di dalam agensi dan syarikat
usahasama untuk memantau kemajuan projek dan memastikan penyelewengan
tidak berlaku, memandangkan di dalam kedua-dua kes NFC dan KPFQ
penyelewengan berlarutan dalam satu tempoh yang panjang; dan
3. Apakah peranan dan pertanggugjawaban kepimpinan kerajaan apabila
projek-projek usahasama di bawah tanggungjawab mereka gagal dan
membazirkan wang rakyat?
Oleh yang demikian, saya menggesa supaya siasatan terhadap kes ini
tidak dihadkan semata-mata kepada kesalahan dan penyelewengan yang
melibatkan kepimpinan KPFQ Sdn Bhd tetapi perlu diluaskan kepada aspek
kecuaian (negligence) dan ketidaktelitian pimpinan tertinggi negara yang
terbabit supaya ada kebertanggungjawaban kerana agensi-agensi ini
adalah dibawah tanggungjawab mereka.
Apatah lagi apabila kes ini membabitkan usahasama dengan Silver Bird
Group Berhad (SBGB) yang mempunyai hubungan rapat dengan agensi-agensi
kerajaan yang lain termasuklah Tabung Haji. Selain projek-projek yang
melibatkan Gedung Makanan Negara dan KPFQ Sdn Bhd, SBGB mempunyai
beberapa projek usahasama yang serupa dengan Tabung Haji.
Malah, pemegang-pemegang saham besar di dalam SBGB adalah Tabung Haji
dan Tan Sri Vincent Tan, yang menunjukkan bahawa SBGB adalah sebuah
syarikat perniagaan yang ada hubungan yang baik dengan kerajaan.
Saya berharap siasatan SPRM telah pun mengambil kira semua perkara ini.
Buat masa ini, sebagai pimpinan yang bertanggungjawab mengilham dan
melancarkan projek Gedung Makanan Negara yang membabitkan KPFQ Sdn Bhd
ini, Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu membuat kenyataan menjawab
ketiga-tiga soalan yang saya nyatakan di atas mengenai longgarnya tata
kelola kerajaan dalam menentukan pelaburan dan usahasama agensi kerajaan
dengan pihak swasta.
Adalah amat memalukan apabila penyelewengan terkini melibatkan dana
dan kebajikan peneroka Felda, bila mana penyelewengan NFC sebelum ini
melibatkan kebajikan penternak miskin!
RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
Ahli Parlimen Pandan
2 OGOS 2013
Rafizi.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan