Rabu, 29 Februari 2012

Felda cuba sogok peneroka sokong penyenaraian FGVH

(Oleh: Sidiqin Omar)

PETALING JAYA 28 Feb: Felda didakwa cuba menagih sokongan penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH) melalui tawaran RM20,000 hingga RM30,000 kepada setiap peneroka, kata Pengerusi Biro Masyarakat Felda & Orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said.
“Di seluruh tanah rancangan di seluruh negara, pengurus-pengurus Felda diarahkan untuk menghantar surat kepada peneroka bagi mendapatkan salinan kad pengenalan, geran tanah dan buku akaun bank untuk dihantar ke ibu pejabat Felda.
“Nampaknya (pengerusi Felda) Isa Samad sudah hilang punca supaya peneroka menyokong penyenaraian,” katanya pada pemberita di ibu pejabat KEADILAN, hari ini.
Bagaimanapun katanya, tidak dinyatakan samada pemberian itu dalam bentuk wang tunai atau saham, namun beliau menganggap ia merupakan satu perbuatan rasuah kepada peneroka.
“Hal ini menimbulkan kekecohan di seluruh tanah rancangan. Mereka sebelum ini tak pernah dimaklumkan tentang tujuan serahan salinan kad pengenalan, geran tanah dan buku akaun bank tersebut,” katanya.
Katanya, penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia tidak sepatutnya melibatkan kepentingan peneroka yang terdapat dalam Felda Plantation, Felda Holdings dan Koperasi Permodalan Felda (KPF).
“Kalau mereka nak senaraikan FGVH atas kekuatan mereka sendiri, terserah. Mereka ada 20,000 ekar di Indonesia,” kata Suhaimi.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=27435

Tiada ulasan: